Chua da jd Muhammad Ilman..alhamdulillah

Posted by zackism Thursday, October 1, 2009

Saudara baru reda sambut Aidilfitri tanpa keluarga


DARI kiri, Muhammad Munir Abdullah, Siti Maisarah dan Muhamad Ilman

Kasih kepada ibu bapa tak pernah padam biarpun berlainan agama

SAMBUTAN Aidilfitri lebih menggembirakan jika dirai bersama keluarga tersayang terutama ibu dan bapa. Namun, tidak semua bertuah kerana ada saudara kita terpaksa melupakan hasrat mencium tangan bermaafan dengan kedua-dua orang tua.

Contohnya, saudara baru Muhammad Munir Abdullah, 25, dan Muhammad Ilman Hakimi Chua Abdullah, 23, yang buat kali pertama menyambut Aidilfitri terpaksa melupakan kemeriahan meraikannya bersama ibu bapa masing-masing.

Bagaimanapun, reda dengan dugaan perlu ditempuhi mereka yang dianugerah Allah nikmat paling besar iaitu iman, Muhammad Munir dan Muhammad Imlan tetap menanti Syawal penuh syukur.


Tambahan, masing-masing berjaya mengharungi cabaran Ramadan penuh keinsafan dengan sokongan saudara baru lain berbekalkan pengalaman pernah dilalui sebelum ini.


Bagi Muhammad Munir, saat paling membahagiakan ialah jika meraikan Aidilfitri bersama ibu bapa, namun akur dengan hakikat perasaan marah yang belum reda, beliau hanya mampu mendoakan yang terbaik.

"Bagaimanapun, saya meraikan Syawal di Kuala Lumpur bersama ibu angkat," katanya pada Majlis Berbuka Perdana Hidayah Centre di Kompleks Perbadanan Putrajaya.

Anak tunggal yang enam bulan memeluk Islam berkata, tentangan dihadapi cukup hebat namun hatinya yakin bantuan Allah datang kepada mereka yang ikhlas serta sabar menghadapi ujian. Hatinya yang amat membenci Islam apabila melihat kehidupan remaja yang tidak mengamalkan ajarannya kini mula mencintai agama itu dan sentiasa dahagakan ilmu mengenainya untuk menjadi Muslim sejati.

"Saya belajar banyak perkara termasuk puasa. Syukur kerana tidak berhadapan banyak masalah. Walaupun sakit, saya teruskan puasa kerana tidak tahu apakah akan berjumpa puasa akan datang," katanya.

Sementara itu, Muhammad Ilman yang memeluk Islam awal tahun ini berharap ibu bapanya yang hanya dimaklumkan sebulan lalu dapat menerima keputusannya walaupun masih dalam keadaan terkejut.

Katanya, beliau tidak dapat merahsiakan lebih lama perkara itu daripada mereka kerana surat-menyurat yang menggunakan alamat keluarga menimbulkan persoalan kepada kedua-duanya nanti.

"Saya rasa lebih baik beritahu sebelum mereka mengetahuinya daripada sumber lain. Pada mulanya mereka terkejut tetapi saya yakin hati mereka akan lembut. Lagipun, kini saya lebih kerap menghubungi mereka berbanding dulu.

"Inilah nilai baik Islam yang tidak pernah menghalang umatnya menjalin hubungan baik walaupun dengan keluarga bukan Islam. Saya harap nilai ini mengubah pandangan ibu bapa terhadap Islam," katanya.

Menceritakan pengalaman berpuasa, beliau berkata, ia bukan perkara baru kerana sudah melatih diri melaksanakan ibadat itu sejak tiga tahun lalu ketika belajar di asrama dan bergaul dengan rakan Melayu.

Muhammad Ilman berkata, perasaan cinta terhadap Islam lahir apabila sering mendengar teman sebilik di Sekolah Sains Machang, Kelantan, membaca al-Quran dan timbul minat untuk mengetahui lebih lanjut mengenai wahyu Allah itu.

"Saya tanya kawan apa yang dia baca, jawabnya al-Quran. Apabila saya nak pegang, dia tak bagi kononnya nanti rumah saya terbakar. Memang kelakar dan saya tahu ada sebab lain dia tak bagi pegang al-Quran, tetapi dia tetap membacanya untuk saya dengar," katanya.

Beliau turut belajar cara bersolat dan selalu menawarkan diri menjadi model sembahyang dalam kelas pengajian agama kerana ketika itu pendidikan moral belum diperkenalkan.

Beliau yang baru menamatkan pengajian di Universiti Kebangsaan Malaysia dalam bidang kejuruteraan pembuatan turut mendapat sokongan pensyarah yang membawanya mengucap dua kalimah syahadat di Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi).

Bagi ibu kepada lima anak, Siti Maisarah Sandra Latha Abdullah, 34, kemeriahan Aidilfitri lebih tertumpu kepada persiapan untuk anak yang dilakukan secara bersederhana seperti tahun sebelum ini.

Beliau yang mengikut suaminya memeluk Islam pada Oktober 2004 berkata, sambutan Aidilfitri begitu bermakna kerana ibunya yang menentang hasrat beliau mengahwini suaminya 14 tahun lalu sudah menerima mereka.

"Anak mana yang tidak gembira apabila ibu yang selama ini marah sudah memaafkan kami. Saya bersyukur walaupun ibu bukan Islam, hubungan kami masih baik," katanya.


Source: http://www.bharian.com.my/Current_News/BH/Saturday/Agama/20090926010441/Article/index_html

2 comments

  1. Unknown Says:
  2. terbaik man jangan putus asa aku ade kat sebelah kau kejar panel skang nih

     
  3. Unknown Says:
  4. terbaik Man

     

Post a Comment

Category List

Labels

Powered by Blogger.

Labels

Popular posts

Popular posts

DipEnyet Kali ke:

Web Counter

Flag Counter

free counters

Followers

Powered By Blogger

Social Stuff

Best view with

logo background

Blog Archive

Search this blog

Utusan Online - Muka Hadapan

Malaysiakini

Medscape Medical Students Headlines

Daily Quote